“Scam Poligami” Bukan Merujuk Pada Poligami

@telenisa_sis
Akhir-akhir ini, isu “scam poligami” hangat dibincangkan di media sosial. Banyak pihak yang menyuarakan pandangan dan rata-rata memandang ia adalah perkara yang serius dan wajar ditangani.
Kritikan atau aduan “scam poligami” dalam isu ini merujuk kepada penyalahgunaan kuasa dan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi membenarkan poligami, bukan pada poligami itu sendiri.
Pendapat yang mengatakan bahawa memudahkan poligami itu adalah sesuatu yang lebih baik menimbulkan beberapa persoalan.
Adakah poligami akan terus dibenarkan untuk memudahkan sesuatu yang baik walaupun tanpa mengikuti syarat undang-undang?
Memudahkan poligami ini ‘lebih baik’ untuk siapa?
Kebanyakan suami tidak mengikut peruntukan pertama untuk berpoligami di mana suami perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak mahkamah.
Si suami akan berkahwin di luar negara tanpa pengetahuan si isteri mahupun mahkamah dan kembali ke Malaysia dengan mendaftarkan perkahwinan baru si suami dengan hanya membayar denda minimum RM1,000 seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Kebanyakan si isteri baru juga ditipu suami dengan melengah-lengahkan pendaftaran perkahwinan mereka sehingga ‘terlupa’ atau tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di bawah undang-undang Malaysia.
Kesannya di sini, perkahwinan baru itu sekadar halal dari segi agama sahaja tetapi tidak wujud di bawah undang-undang Malaysia.  Komplikasi akan berlaku apabila si isteri ingin membuat apa-apa tuntutan di mahkamah kelak.
Oleh kerana perkahwinan itu tidak didaftarkan dan dikira tidak wujud di bawah undang-undang, maka si isteri juga tiada apa-apa hak yang boleh dituntut ke atas suami.
Dengan semudah itu, si suami dapat berpoligami dengan mengenepikan syarat-syarat untuk berpoligami dan semudah itu, si isteri dimadukan tanpa pengetahuan atau kebenarannya.
Aspek cemburu si isteri seringkali di jadikan alasan untuk meremehkan isu dan masalah sebenar pelaksanaan kebenaran berpoligami itu sendiri.
Aduan bahawa seseorang lelaki boleh mendapatkan status bermastautin dengan hanya menetap 5 hari di sesebuah negeri dengan niat untuk mendaftarkan perkahwinan yang disembunyikan dan tanpa keizinan mahkamah perlu disiasat.
Malangnya, kebanyakan peruntukan di atas telah disalahgunakan oleh pelbagai pihak untuk kepentingan sendiri sehingga memudaratkan kelangsungan hidup isteri-isteri dan anak-anak di Malaysia.
Kebanyakan isu tentang perkahwinan berpoligami adalah berkaitan dengan kegagalan suami untuk berlaku adil dan saksama untuk menafkahi dan menjaga dua atau lebih keluarga.
Sesetengah suami hanya mampu melaksanakan tanggungjawab kewangan, masa dan keperluan secara memadai untuk isteri pertama dan anak-anak tapi masih tidak teragak-agak dan sanggup bersembunyi untuk berkahwin sekali lagi.
Mengikut Kajian Nasional “Kesan Poligami ke atas Keluarga Muslim di Malaysia” yang dilakukan oleh Sisters in Islam (2007-2012), 40% suami mengaku mengurangkan perbelanjaan kepada anak-anak, isteri dan keperluan rumah yang lain selepas berpoligami.
Manakala 44% isteri pertama mula bekerja atau bekerja lebih masa atau mencari kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan rumah selepas suami berpoligami.
Kitaran kelakuan suami yang melanggar undang-undang serta tidak melaksanakan tanggungjawab mereka bukan sahaja memberikan kesan kepada isteri pertama dan anak-anak dari segi emosi dan psikologi, malah, ia juga akan memberi kesan kepada isteri kedua, ketiga dan keempat,
tanpa mengira ketidakmampuan suami menyediakan nafkah yang secukupnya dengan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa dengan sambil lewa.
Dalam hal ini, kajian Sisters in Islam juga mendapati bahawa 77% anak isteri pertama tidak berpuas hati dengan aturan giliran bapa mereka.
Ketidakadilan yang berlaku akan menyebabkan isteri-isteri menuntut cerai di mahkamah dan semakin banyak ibu tunggal yang menderita dan anak-anak yang terbiar tanpa nafkah daripada perkahwinan poligami yang tidak mengikuti undang-undang,
dan tidak mengambil kira pengalaman wanita, malah diketepikan. Realiti kehidupan sebenar wanita-wanita yang berada dalam poligami perlu diambil kira dan dipertimbangkan.
Undang-undang memainkan peranan utama untuk membendung isu-isu seperti ini berlaku. Akan tetapi, matlamat undang-undang tidak akan tercapai jika undang-undang poligami tidak diperketatkan, tidak diikuti dan diabaikan.
Menurut kajian yang disebutkan di atas, 45% suami tidak membuat permohonan di mahkamah manakala 60% isteri tidak dipanggil oleh mahkamah untuk mendapatkan pendapat sebelum meluluskan permohonan poligami suami.
Atas dasar dapatan kajian ini, SIS mencadangkan agar praktik poligami ini diperketatkan lagi dengan menambah baik undang-undang sedia ada.
You can follow @SistersinIslam.
Tip: mention @twtextapp on a Twitter thread with the keyword “unroll” to get a link to it.

Latest Threads Unrolled:

By continuing to use the site, you are consenting to the use of cookies as explained in our Cookie Policy to improve your experience.