Soalan yang tampak cerdik namun tidak akan ditanya seseorang yang faham mekanisma vaksin dan jangkitan HIV.

1. Apakah itu HIV?
2. Bagaimanakah HIV membiak dalam tubuh?
3. Mengapakah masih tiada vaksin untuk HIV?

Ayuh, kita bedah dan cuba cari jawapan.
P.s: Aduhai antivax ini.
1. Apakah itu HIV?
HIV ialah akronim kepada Human Immunodeficiency Virus.
Ia virus yang menyerang sel-sel yang terlibat dalam sistem pertahanan tubuh manusia terhadap jangkitan kuman.

HIV ada 2 jenis:
i. HIV-1
ii. HIV-2

Majoriti jangkitan HIV berpunca dari HIV-1.
HIV menjangkiti manusia dengan beberapa cara seperti:

i. Amalan seksual berisiko tinggi (sama ada berlainan jantina atau sesama jantina)

ii. Perkongsian jarum suntikan daripada seseorang yang dijangkiti HIV

iii. Jangkitan ibu yang menghidapi HIV kepada anak dalam kandungan
iv. Penyusuan bayi oleh wanita yang menghidap HIV

HIV tak boleh dijangkiti melalui peluh, air liur dan air kencing.

HIV juga tak berjangkit jika penghidap HIV tersebut mengambil ubatan antiretroviral dan tahap virus dalam darah tak dapat dikesan (undetectable viral load).
2. Bagaimanakah HIV membiak dalam tubuh?

Sebentar tadi, kita katakan bahawa HIV serang sistem tubuh manusia.

Persoalannya, bagaimana HIV serang sistem pertahanan tubuh manusia?

HIV menjangkiti sel-sel sistem pertahanan tubuh manusia, terutamanya sel T4.
Sel T4?

Ya, sel T4/T CD4+, atau juga dikenali sebagai sel T penolong (helper T cells).

Ia dikenali sebagai sel T4/CD4+ kerana ada molekul CD4 di permukaannya.

Ia sel yang bantu sistem pertahanan tubuh dengan aktifkan respons sistem imun terhadap jangkitan/penyakit tertentu.
Mereka umpama mata-mata yang memerhati dan kenalpasti musuh.

Jika mereka dapati ada 'kem' musuh, mereka akan laporkan kepada sistem imun tubuh dengan bebaskan bahan kimia bernama sitokines (cytokines).

Sitokines akan tarik perhatian sel-sel imun untuk serang musuh.
HIV pula membiak dengan menyerang sel T4.

Ia sasarkan sel yang ada molekul CD4 seperti sel T4 dan jadikan sel T4 yang dijangkiti sebagai kilang untuk hasilkan virus-virus HIV baru.

Kesannya, sel T4 yang telah dijangkiti mati.
Partikel virus baru pula menjangkiti sel lain.
Proses ini terus berulang sehingga sel T4 dalam tubuh manusia semakin berkurangan.

Bila banyak sel T4 mati, maka 'mata-mata' yang beri amaran terhadap jangkitan kuman dalam tubuh manusia berkurangan.

Kuman lain mudah menjangkiti tubuh tanpa halangan dari sistem imun tubuh.
Saat ini, seseorang yang dijangkiti HIV menghidap AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit)

Antara kriteria AIDS ialah ketika penghidap HIV:

i. Ada bilangan sel T4 dalam darah pada kadar 200 sel/mm3 atau kurang

ii. Dijangkiti penyakit opportunistik
Penyakit opportunistik ialah penyakit yang kebiasaannya tak dihidapi orang sihat yang normal, namun dihidapi golongan yang lemah sistem imunnya.

Contoh penyakit opportunistik ialah:

i. Jangkitan toxoplasma
ii. Sarkoma kaposi

Penyakit ini tak dihidapi orang sihat yang normal.
3. Kita sudah tahu secara ringkas bagaimana HIV membiak.

Jika sudah faham, maka mudah sahaja untuk memahami kenapa tiada vaksin (setakat ini) untuk HIV.

Vaksin perlukan tindak balas sistem imun tubuh untuk berkesan, walhal HIV melemahkan sistem imun tubuh manusia.
Vaksin bertindak dengan meransang sistem imun tubuh untuk hasilkan antibodi melawan patogen tertentu dengan perkenalkan antigen.

Persoalannya, antigen HIV apa yang mahu diperkenalkan kepada tubuh?
Virus yang dilemahkan?

Ia masih mampu menjangkiti sel imun tubuh.
Perkenalkan partikel tertentu daripada virus HIV?

HIV cepat bermutasi. Antigen yang digunakan hari ini mungkin tak berkesan pada keesokan harinya.

Selain itu, ada pelbagai variasi virus HIV.
Vaksin yang dihasilkan perlu membolehkan tubuh bertindak terhadap semua variasi HIV.
Ini merupakan antara cabaran yang perlu diambilkira saintis dalam menghasilkan vaksin HIV.

Sebab inilah vaksin HIV sukar ditemui berbanding kuman lain seperti bakteria tuberculosis atau virus demam campak.

P.s: Bukan sel T4 sahaja, bahkan makrofaj dan monosit juga diserang HIV.
Sel HIV menjangkiti pelbagai jenis sel imun tubuh, namun target utamanya ialah sel T4.

Buat masa sekarang, kita ada ubat antiretroviral untuk perlahankan dan halang pembiakan HIV dalam tubuh.

Namun ia bukan penawar. Ia perlu diambil secara berterusan supaya HIV tak membiak.
Lebih baik mencegah diri kita daripada dijangkiti HIV jika mampu.

Contohnya, mengelakkan hubungan seks berisiko tinggi dan menjauhi dadah.

Bagi yang sudah dijangkiti, ikuti dan ambil ubat antiretroviral supaya viral load kekal rendah.
Lebih baik jika undetectable.
Ruj:

1. Fields Virology
2. Basic Immunology: Functions and Disorders of the Immune System
3. Cell and Molecular Immunology
4. Clinical Immunology Principles and Practices
5. Medical Microbiology, Virology and Immunology
6. Roitt's Essencial Immunology
You can follow @ahnewyear19.
Tip: mention @twtextapp on a Twitter thread with the keyword “unroll” to get a link to it.

Latest Threads Unrolled:

By continuing to use the site, you are consenting to the use of cookies as explained in our Cookie Policy to improve your experience.