Benarkah isu perubahan iklim (climate change) memberi kesan terhadap gender?
Jawapan: Ya, ada. Sangat berkait.
Ini adalah kekait.
Jawapan: Ya, ada. Sangat berkait.
Ini adalah kekait.
Apa yang saya hendak kongsikan ini ialah apa yang telah dibincangkan bersama Dr. Farizal Razalli dalam kelas Energy Security masa pengajian sarjana 3 tahun lalu di UKM. Masih segar dalam ingatan saya bahawa kelas itu telah berlangsung selama 4 jam.
Perubahan iklim secara mudahnya bermaksud perubahan keadaan persekitaran bumi sehingga menyebabkan keadaan semulajadi mulai berubah dan memberi impak kepada hidupan semulajadi. Contohnya ialah peningkatan suhu bumi, kemarau, peningkatan aras air laut, banjir, dll.
Secara asasnya, kesan perubahan iklim akan menimpa semua orang. Sama ada manusia, makhluk, tumbuh-tumbuhan, hidupan laut dan lain-lain akan mendapat kesan daripada perubahan iklim. Tak ada kemarau yang hanya ditimpa ke atas kaum wanita sahaja. Semua orang akan dahaga. Itu pasti.
Tapi, perbincangan tentang perubahan iklim tidak sekadar terhenti di situ. Orang dalam bidang ekologi dan IR, akan berfikir selangkah lagi ke hadapan dengan mempersoalkan, apakah punca utama yang menyebabkan perubahan iklim tersebut berlaku dan apakah kesan sebelum dan selepas?
Itu sebenarnya persoalan utama, yang menjadi titik kepada perbahasan tentang soal gender dalam isu perubahan iklim. Dan ia tidak sekadar tentang lelaki/wanita, tetapi ia adalah tentang maskuliniti/feminin.
Ada dua mazhab di sini, iaitu mazhab "nature" yang kata ini adalah faktor semulajadi, dan mazhab "nurture" yang kata perkara ini berlaku disebabkan oleh faktor luaran, iaitu kerakusan manusia.
Mazhab "nature" jelaslah hendak kata bahawa perubahan iklim berlaku adalah sebab takdir. Bumi sudah tua, jadi tidak boleh halang daripada kerosakan yang berlaku. Nak buat macam mana, kita minta abah buat solat hajat dan berdoa kepada Tuhan sajalah supaya bumi tidak rosak lagi.
Mazhab "nurture" pula kata, tidak! Ini adalah masalah kerakusan manusia yang terlalu hendak kejar pembangunan sampai rosakkan alam sekitar dengan pelepasan gas karbon dioksida, kesan rumah hijau, pembuangan sisa kilang ke sungai, dll sampai bumi semakin rosak.
Daripada penghujahan mazhab "nurture" tersebut, maka kesan-kesan ketara yang dapat dilihat daripada ancaman perubahan iklim ialah peningkatan kadar kemiskinan, migrasi besar-besaran, kehilangan tempat tinggal, kekurangan sumber makanan, wabak penyakit, dll.
Jadi, perlu semat dalam kepala, bahawa bila bincang tentang perubahan iklim, ia tidak sekadar bincang tentang apa yang terjadi kepada bumi, tetapi ia juga bincang tentang apa yang terjadi kepada hidupan, termasuk manusia kesan daripada perubahan iklim yang berlaku.
Kesan-kesan tersebut memang mengancam semua tanpa mengira jantina. Tetapi, daripada semua pihak yang sedang terancam, wanita adalah jantina yang terancam lebih berganda!
Kenapa?
Kenapa?
Sebabnya, kelemahan diri wanita itu sentiasa terdedah untuk dimanipulasikan, sama ada untuk mempergunakannya bagi tujuan meraih keuntungan, diperlecehkan buah fikiran dan status sosial mereka, ataupun dipersalahkan atas segala yang berlaku.
Kena ingat, di negara-negara sebelah Afrika ataupun Asia Selatan yang lelaki lebih dominan dan wanita direndahkan, keadaan alam yang kemarau dan persekitaran yang miskin menyebabkan wanita diperhambakan seperti dijadikan pelacur, dijadikan buruh kasar, keganasan domestik, dll.
Dalam keadaan susah dan sempit, wanita yang lemah senang digunakan sebagai tempat melepaskan emosi. Sebab itulah pada era COVID-19 ini ketika ramai orang hilang pekerjaan dan terpaksa tinggal di rumah, banyak kes keganasan domestik dan perceraian berlaku. Itu baru COVID-19.
Bayangkan di negara yang sentiasa mengalami perubahan iklim yang teruk dan kesempitan segala-galanya di samping budaya yang menindas wanita, agak-agak bagaimana teruknya nasib wanita dilayani di sana?
Satu artikel di United Nations menulis, "Seventy per cent of the 1.3 billion people living in conditions of poverty are women. In urban areas, 40 per cent of the poorest households are headed by women."
Nampak?
Link: https://www.un.org/en/chronicle/article/womenin-shadow-climate-change
Nampak?
Link: https://www.un.org/en/chronicle/article/womenin-shadow-climate-change
Sebab itulah isu maskuliniti dalam pembuatan keputusan negara menjadi isu besar. Pemikiran maskuliniti yang terlalu berpusat kepada kekuasaan bagi menunjukkan kejantanan itu seringkali mendominasi dalam penggubalan polisi negara.
Apabila pemikiran maskuliniti dominan, itulah yang menyebabkan isu ekologi, gender, dan sebagainya itu dianggap isu picisan dan tidak menguntungkan negara. Penguasa dan pengusaha industri bekerjasama untuk bangunkan negara, tanpa memikirkan kesan kepada hidupan lain.
Saya sengaja tidak mahu bentang tentang data statistik segala terlebih dahulu. Itu semua boleh Google. Saya cuma mahu tumpukan dalam menerangkan tentang rasionaliti dan fakta bagaimana perubahan iklim ini memang memberi impak besar terhadap ketidakadilan gender.
Orang yang tidak mahu berfikir atau terlalu berminda saintifik polos hanya akan berpandangan sempit sekadar tentang apa itu perubahan iklim sahaja. Sebab itu mereka cuma nampak kesan itu hanyalah sekadar apa yang telah dibawa oleh alam semulajadi dan kesannya terhadap bumi.
Tapi, mereka tidak nampak bagaimana kesan selepas perubahan iklim itu yang lebih besar memberi impak kepada hidupan bumi. Jika mereka berfikir secara analitis, barulah mereka akan nampak bagaimana yang menjadi mangsa kepada perubahan iklim sebahagian besarnya ialah wanita.
Isu perubahan iklim dan kaitannya terhadap gender, sosioekonomi, strata sosial, kepercayaan, dll ini tidak asing dibincangkan oleh ahli geografi ataupun IR. Cuma ia menjadi isu besar apabila masyarakat awam tidak faham bagaimana hendak mencerap gambaran besar untuk faham isu ini.
Sebagai konklusi, sebab itulah wujudnya gerakan sosial dan kempen awam untuk memberdayakan wanita yang menjadi mangsa utama kesan daripada perubahan iklim ini. Gerakan dan kempen ini bukan menindakkan lelaki atau makhluk lain yang turut terancam daripada kesan ini.
Tetapi gerakan dan kempen ini hendak mengangkat isu ketertindasan kaum wanita yang menghadapi masalah-masalah tambahan lain dan lebih teruk lagi. Kita di sini yang tidak rasa sangat kesan perubahan iklim ini mungkin tidak faham sangat logiknya di sini.
Tapi di negara-negara luar yang menghadapi ancaman perubahan iklim yang teruk, kalau kita banyak membaca tentang keadaan sosial di negara tersebut, baru kita nampak tentang apa yang sedang terjadi. Barulah kita dapat faham kenapa gerakan dan kempen sebegini wujud.
Sekian, itu sahaja perkongsian daripada saya. Terima kasih. Ada soalan dan kritikan?