Selalunya di waktu sebegini aku akan berada di kafe HS mata melilau cari tempat duduk yang kosong walaupun hakikatnya penuh nak mampus. Sambil menikmati shawarma gerai Nile, aku buka langkah menuju ke IIUMTV office untuk makan di situ sambil menunggu kelas jam 2 petang.
Tidak pun, aku berpusu ke kafe di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, mencari tempat duduk untuk makan nasi berlaukkan Gepuk, sambil menikmati kehijauan taman, atau mengeluh kerana kepanasan terik.
Kalau ada duit lebih sedikit, aku mungkin berjalan merentasi jambatan sambil menyantuni 2-3 ekor biawak yang tenang merenangi sungai milo itu, menuju ke kafe elit Richiamo bagi mendapatkan promosi 2 cawan minuman boba untuk RM10.
Tidak pun, aku terus ke kafe Zauq untuk mengecas telefon bimbit sambil menikmati shawarma ABC yang rangup di dalam empuk diluar, bertukar khabar dengan puan pemilik kafe itu. Berbangsa Melayu. Tidak sempat aku bertanyakan namanya.
Andai aku idamkan pasta karbonara, aku membuka langkah untuk ke Student Mall, beratur di kafe Paparonis. Menulis pesanan di atas cebisan kertas kecil, "Chicken Carbonara x1" dan meminta segelas air sejuk, melegakan dahaga. Sambil menunggu, loceng meja dibunyi memanggil pelanggan.
Dari ruang kering kafe HS ke perkarangan Student Mall, kedengaran sekumpulan, atau mungkin dua, yang giat menjalankan aksi rasa kilas bagi mempromosikan pesta, sambutan, juga persembahan kesenian.
Sepatutnya, bulan September sehingga November adalah bulan meriah bagi warga UIA.
Sepatutnya, bulan September sehingga November adalah bulan meriah bagi warga UIA.
Kafe KENMS juga, di sebalik semua hingar bingar pelajar yang menjamu selera, aksi rasa kilas bagi promosi teater juga tiba-tiba sahaja dijalankan, mentah. Tiada mikrofon mahupun pembesar suara.
Aksi sekadar lakonan promosi. Tidak menggalakkan keganasan.
Aksi sekadar lakonan promosi. Tidak menggalakkan keganasan.
Laungan azan di Masjid SHAS yang kuat, tetapi menenangkan. Lebih dari cukup untuk senyapkan seketika keriuhan di semua kafeteria kuliyyah walau beratus meter jauhnya. Ada yang berjalan terus dari kafe ke perkarangan masjid, tidak pun yang berkunjung dari Perpustakaan Darul Hikmah
Banyak lagi momen "andainya aku di UIA" yang aku boleh nukilkan, tetapi tidak cukup untuk aku gambarkan kerinduan detik dan waktu di sana kala jam 1 tengahari.
Andai kau sempat merasai, bersyukurlah dan fikir kembali nikmat2 kecil ini yang kau mungkin telah dustakan selama ini.
Andai kau sempat merasai, bersyukurlah dan fikir kembali nikmat2 kecil ini yang kau mungkin telah dustakan selama ini.